Penerangan Solat Qasar dan Jama’ adalah seperti berikut:

Solat Qasar

Takrifan

 Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat  yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua  rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh   diqasarkan.

Hukum Qasar

      Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

      
Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

 "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu   tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika   kamu takut diserang oleh orang kafir…” 

Al-Sunnah yang bermaksud;

 ‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan       kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku   telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda,   solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah   kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya” 
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud) 

Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin    mempunyai empat farsakh dan setiap farsakh terdiri   daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua  marhalah adalah bersamaan 89 kilometer.

  Syarat Solat Qasar

Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh  syara’.

.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada 2 marhalah(89 kilometer / 56 batu).

Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
Hendaklah solat yang di qasarkan itu terdiri dari solat  4 rakaat.

 Contoh Niat

                       أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
      (Sahaja aku solat fardhu Zuhur 2 rakaat Qasar kerana Allah Taala)

Solat Jama'

  Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

.Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam  waktu Maghrib.

     

Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar  dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam   waktu Isya’.

Syarat Solat Jama’

Solat Jama’ Taqdim       

.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat   Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.

Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama  sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul  ihram.
Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul  ihram solat yang kedua.
Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur  atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang  kedua (Asar atau Isya’).

Solat Jama’ Ta’khir

Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.  

Contoh Niat

Jama’ Taqdim

.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

      (Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan       kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى

(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan   kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

Jama’ Ta’khir

Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

 أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
      (Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan  kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
      (Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan  kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

 

Home