Kreativiti dan Kesihatan Mental
Khairul Azhar Bin Idris
Fellow IKIM

Kreativiti didefinisikan sebagai suatu keupayaan atau kebolehan untuk melahirkan atau menghasilkan sesuatu idea atau objek yang baru dan amat bernilai dalam kehidupan.Seorang penyelidik kreativiti, Mumford, di dalam penulisan beliau yang bertajuk ‘Where have we been, where are we going? Taking stock in creativity research’ menyatakan bahawa kreativiti itu adalah satu proses yang mengakibatkan kepada sesuatu penghasilan yang baru dan berfaedah. Creativity is the ability to produce novel and unique socially valued ideas or objects ranging from philosophy to paintings, from music to mousetraps. Ungkapan beliau ini telah diperjelaskan lagi oleh Sternberg dan Lubart di dalam artikel yang bertajuk ‘The concept of creativity: prospects and paradigm’, iaitu sesuatu yang baharu dan berfaedah itu dilihat sebagai tulen dan asli dari segi kemunculannya dan pada masa yang sama perlulah berguna, atau berfaedah dan bersifat adaptif kepada persekitaran. Kesimpulan daripada semua pernyataan yang tersebut ini menunjukkan bahawa kreativiti adalah sesuatu penghasilan atau kemunculan idea atau produk yang baharu sifatnya, dan ia lahir secara semulajadi dalam keadaan yang tulen dan asli, serta berperanan membawa kepada kebaikan dalam kehidupan individu dan masyarakat serta kepada persekitaran.

Kajian kreativiti secara saintifik telah bermula seawal tahun 1950an apabila seorang pakar psikologi Amerika Syarikat, J. P. Guilford menghuraikan fenomena pemikiran dan intelek, khususnya yang berkaitan dengan kecerdasan dan kepintaran, dan diikuti oleh E. Paul Torrance. Pada ketika itu, fenomena kreativiti telah dilihat sebagai satu ‘hypothetical construct’, atau konstruk mental yang sangat penting dalam kajian terhadap kepintaran, personaliti, motivasi, pencapaian kendiri dan penyelesaian masalah. Malah alat pengukuran dan pengujian terawal terhadap kreativiti mula diperkenalkan oleh Guilford sendiri, dan juga oleh Torrance seperti ‘Torrance Tests of Creative Thinking’. Alat pengukuran ini amat popular dan masih lagi digunakan hingga ke hari ini bagi mengenal pasti potensi kreativiti yang wujud dan tersembunyi di kalangan individu.

Setiap individu perlu untuk menjadi kreatif bagi memenuhi matlamat dan tuntutan dalam kehidupan. Ini kerana kehidupan itu dilingkungi oleh pelbagai ranjau dan masalah yang mampu untuk menggugat individu dan kehidupan mereka. Namun pada hakikatnya, terdapat individu yang tidak mampu untuk menyelesaikan masalah dalam mengharungi kehidupan ini. Mereka mungkin menjadi terbelenggu oleh permasalahan mereka tanpa ada sebarang penyelesaian atau jalan keluar dari masalah itu. Mungkin juga mereka keluar dari masalah hidup itu dengan cara atau kaedah yang salah, tidak sesuai, tidak efektif atau tidak produktif. Akibatnya, keputusan dan penyelesaian yang diambil mendatangkan kemudharatan dan keburukan, kepayahan, mahupun kesudahan yang amat tragis sekali dan mungkin akan berakhir dengan kehilangan nyawa, kecederaan dan sebagainya. Berdasarkan kepada situasi ini, maka kreativiti dilihat sebagai satu keperluan yang wajar dimiliki dan dipelajari serta diamalkan untuk mencapai matlamat dalam kehidupan.

Persoalan lain ialah apakah yang perlu diajar apabila mengajar kreativiti, dan kepada siapa ia akan diajarkan. Sehingga kini, kreativiti tidak pernah diajar secara formal di peringkat sekolah atau universiti. Jika ada, ia lebih berbentuk ajaran ringan yang tidak formal dan juga tidak mempunyai piawaian struktur kurikulum yang lebih sistematik. Walhal kreativiti ini telah pun menjadi satu agenda besar negara di peringkat nasional apabila tahun 2010 telah diiktiraf sebagai tahun tema bagi kreativiti dan inovasi. Sambutan hari kualiti juga telah digantikan dengan sambutan hari inovasi. Dalam konteks negara ini, senarionya ialah kreativiti itu lebih sesuai berlaku atau banyak tertumpu di peringkat organisasi dan alam pekerjaan, bukan di alam pembelajaran yang formal seperti sekolah dan universiti. 

Perlu juga disedari bahawa kreativiti sewajarnya mampu membawa individu dan masyarakat kepada kebaikan dan kesejahteraan hidup. Namun perkara ini tidak selalu berlaku, lebih-lebih lagi apabila ditinjau dari kehidupan golongan cendekiawan dari masyarakat di negara Barat yang lebih maju, pintar dan kreatif, tetapi tewas dalam masalah kejiwaan. Mereka menghadapi gangguan mental, dan sesetengahnya turut ada yang mengakhiri kehidupan mereka di dalam institusi penyakit mental, malah ada yang membunuh diri. Di antara beberapa contoh gangguan mental yang berlaku ialah seperti ketagihan dadah dan alkohol, gangguan mood dan afek seperti kemurungan dan manik depresif, bunuh diri, gangguan personaliti dan sebagainya. Di antara kalangan tokoh-tokoh yang terlibat ialah seperti van Gogh, seorang pelukis terkenal, Ernest Hemingway, seorang novelis yang telah menembak dirinya sendiri sejurus selepas menerima rawatan ECT, Virginia Wolf yang telah melemaskan dirinya sendiri, Robert Schumann yang meninggal ketika berada di dalam hospital psikiatri, dan artis visual Michelangelo.

Jika dilihat dari contoh tersebut, akan wujud tanggapan seolah-olah jika seseorang itu berfikiran kreatif, atau bercita-cita untuk menjadi kreatif, maka ia akhirnya akan mengalami gangguan mental. Perlu jelas bahawa ini tidak bermakna kreativiti itu akhirnya akan mengakibatkan berlakunya penyakit mental. Fenomena di negara Barat tidak semestinya akan berlaku di negara ini kerana pandangan hidup dan kerangka pemikiran Barat itu berbeza dari pandangan hidup Islam. Memang setiap individu, tanpa mengira darjat, kepintaran atau kecerdasan akan sentiasa bergelumang dengan stres dan tekanan mental, tetapi cara mereka mengendalikan tekanan amat berbeza dengan kaedah dalam Islam. Apa yang membimbangkan ialah wujud segelintir umat yang menggunakan pendekatan ala Barat, seperti mengambil dadah dan alkohol bagi menghasilkan daya cipta yang kreatif dan unik. Ia seperti percaya bahawa tanpa bahan tersebut, idea kreatif tidak mungkin akan terhasil. Tanpa bahan-bahan tersebut, ketenangan untuk berilham tidak akan tercapai. Malah hasil dan pemikiran yang bermutu juga tidak akan diperolehi. Anggapan songsang ini perlu dirawat dahulu menurut ruang lingkup dan pemikiran agama sebelum kurikulum kreativiti mampu diketengahkan.


Adab Bermusyawarah Dalam Islam
Abu Bakar Bin Yang
Fellow

Perbezaan pendapat manusia sama ada dalam perkara yang berkaitan dengan hal ehwal agama atau urusan dunia  merupakan lumrah hidup dan tabie hidup manusia.  Namun ianya bukanlah alasan untuk kita sentiasa bertelagah sesama sendiri sehingga membelakangkan adab dan etika.  Bahkan dalam syariat Islam itu sendiri telah menggariskan prinsip-prinsip serta adab sekiranya timbul perbezaan pandangan dalam sesuatu hal atau urusan.  Contohnya, syariat Islam itu menggalakkan umatnya bermusyawarah untuk menentukan sesuatu urusan, dan di dalam musyawarah itu akan lahir suasana untuk bermuzakarah, berdialog dan perbincangan yang sihat.  Dan perbincangan itu pula mestilah berteraskan kepada akal yang waras, pemikiran yang bernas serta berdebatan yang dilakukan dengan sebaik-baiknya. Yang mana kesemuanya ini bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan manfaat manusia seluruhnya.

Banyak sebab yang boleh melahirkan suasana perbezaan pendapat ini, di mana antaranya ialah berbezanya kefahaman terhadap sesuatu perkara, perbezaan hujah dan alasan yang bersandarkan kepada sumber yang juga berbeza, dan perbezaan penggunaan istilah atau bahasa.  Malah ada juga yang berpegang kepada sesuatu pendirian secara membuta tuli tanpa ilmu pengetahuan yang sah, yang natijahnya melahirkan golongan yang berhujah dengan penuh kejahilan, ketaksuban, hasad dengki dan mengikut hawa nafsu.  Inilah antara gambaran yang diperlihatkan oleh al Quran watak-watak jahil kaum musyrikin yang tidak mahu mengakui kerasulan dan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w. walaupun baginda mendatangkan dalil-dalil, bukti-bukti dan bahkan mukjizat yang jelas dan nyata di depan mata mereka.  Namun disebabkan keangkuhan, kesombongan, hasad dengki dan kepentingan peribadi atau puak, maka segala dalil dan bukti yang jelas dan nyata tadi ditolak.

Dengan menelusuri sejarah peradaban dan tradisi keilmuan Islam, kita dapati terdapat banyak khazanah penulisan cerdik pandai Islam yang mengupas isu perbezaan pendapat ini secara ilmiah dan bernas.  Antaranya, Adab al Hiwar (adab berdialog), Ilmu al Jidal (ilmu berdebat), Adab al Iktilaf (adab berbeza pendapat) dan sebagainya.  Kesemua penulisan ini menjurus kepada membentuk suasana yang sihat, berakhlak dan beradab walaupun dalam keadaan masing-masing memiliki pendapat dengan alasan dan hujah yang bebeza-beza.  Inilah indah dan cantiknya Islam, iaitu agama yang bersifat syumul dalam segala hal, memiliki sifat ‘universal' untuk semua kaum dan bahasa, serta berupaya menyatukan semua rupa bangsa di bawah satu payung yang besar lagi  adil, walaupun mereka itu terdiri daripada pelbagai warna kulit, bahasa, dan budaya.

Dalam semangat membentuk manusia yang beradab inilah maka adab-adab bermuzakarah yang digariskan oleh syariat Islam ialah ianya mestilah berpaksikan kepada kebenaran, jauh dari segala bentuk pembohongan dan sentiasa berusaha menjauhi segala bentuk keraguan.  Bahkan kemuliaan adab-adab bermuzakarah ini hendaklah sentiasa dipertahankan walaupun berhadapan dengan mereka yang berhujah dengan alasan yang batil sepertimana yang telah dirakamkan oleh al Quran, iaitu dialog antara nabi Musa a.s dengan Firaun. Sungguhpun memenangi perdebatan atau ‘perang mulut' dengan Firaun, nabi Musa tetap mempertahankan nilai-nilai ketinggian akhlak ketika berhujah dan berdialog sehingga memaksa Firaun yang batil itu menggelar nabi Musa a.s sebagai  gila dan ahli sihir.

Inilah antara hikmahnya apabila sesuatu hujah yang kuat dan benar itu disampaikan dengan penuh sopan, berakhlak dan beradab, maka ianya secara tabie menjadi lebih bertenaga dan dapat diterima oleh orang ramai.  Lihat saja apa yang berlaku seterusnya kepada sekumpulan ahli sihir Firaun yang turut serta dalam perdebatan perdana antara nabi Musa a.s. dengan Firaun itu.  Apabila Musa a.s. mengemukakan hujah-hujahnya yang jelas dan benar sehingga Firaun dan para pengikutnya tidak mampu berhujah balas lagi, dan setelah terbukti kepada mereka kebenaran nabi Musa a.s dan terserlahlah kebatilan Firaun, maka berimanlah kumpulan ahli sihir tadi kepada kebenaran yang dibawa oleh nabi Musa a.s. Inilah semangat yang ingin kita bawa dalam suasana perbezaan pendapat, iaitu sanggup menerima kebenaran dengan hati yang terbuka dan mengiakan kelemahan serta menolak kepalsuan.

Seterusnya Islam memperindahkan lagi ciri-ciri muzakarah itu dengan menuntut setiap ahli muzakarah agar bersifat rendah diri dan jauh dari segala sifat sombong dan menunjuk-nunjuk. Lihatlah kisah nabi Sulaiman a.s. dengan burung Hud-Hud. Walaupun nabi Sulaiman memiliki kerajaan yang besar namun baginda tetap menerima hujah burung itu dengan rendah diri dan bercakap secara hikmah dan lemah lembut.  Sungguhpun nabi Sulaiman a.s. mempunyai kuasa tertinggi dalam memimpin bala tentera yang begitu besar, namun baginda masih memberi ruang kepada burung Hud-Hud yang kerdil itu untuk membela diri dan memberi alasan dan pendapat.

Ruang untuk berhujah bukan diberikan kepada yang memiliki alasan yang kuat dan benar sahaja, tetapi juga kepada mereka yang lemah dan batil untuk menyampaikan pandangannya.  Lihatlah dialog yang berlaku antara Allah s.w.t. dengan Iblis.  Ruang yang luas diberikan Allah s.w.t. kepada Iblis untuk mengemukakan hujahnya walaupun jelas Iblis berada pada pihak yang batil yang mana akhirnya tersingkap isi hati sebenar Iblis untuk menyesatkan umat manusia seluruhnya.  Ini memperlihatkan kepada kita bahawa antara adab bermuzakarah atau berdialog yang sihat itu ialah memberi ruang kepada semua pihak untuk menyampaikan hujah masing-masing.  Setelah semua hujah didengar barulah keputusan boleh dibuat secara adil dan saksama.

Sorotan kisah-kisah seperti berdialognya Allah s.w.t. dengan Iblis, kisah nabi Sulaiman a.s. bermuzakarah dengan burung Hud-Hud dan perdebatan antara nabi Musa a.s. dengan Firaun, jelas mengajar kita bahawa kebebasan bersuara untuk memberi hujah dan pandangan adalah antara perkara yang diberi ruang oleh Islam.  Di mana hak ini bukan dikuasai oleh satu pihak sahaja, tetapi juga dinikmati oleh semua orang di dalam sesebuah masyarakat atau negara, dan pada masa yang  sama kebebasan ini hendaklah dilandaskan kepada nilai akhlak dan etika yang murni.

Dalam konteks sekarang adab bermuzakarah perlu difahami oleh setiap individu masyarakat kerana perkara ini sentiasa dihadapi oleh kita dalam setiap masa dan tempat. Oleh demikian, adab-adab yang telah digariskan oleh syariat Islam sewajibnya dipatuhi supaya ia menghasilkan natijah yang terbaik dalam setiap perbincangan dan dialog.  Sikap fanatik kepada kumpulan tertentu sebelum berlakunya muzakarah dan dialog tidak akan membawa kebenaran yang diharapkan malah mungkin akan menimbulkan keadaan yang lebih parah lagi.  Maka dalam hal ini sikap keterbukaan amat perlu kepada setiap individu ahli muzakarah untuk mencari kebenaran dan keadilan yang terbaik.

Inilah antara kelemahan yang menggusarkan yang sedang melanda umat Islam ketika ini, iaitu perpecahan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran dan berasa hanya apa yang diperjuangkan itu sahaja yang betul. Walaupun Islam tidak pernah menolak hakikat kerencaman pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan dan ketegangan sehingga menenggelamkan hakikat kebenaran Islam itu adalah suatu yang perlu dielakkan.

Jika diperhatikan, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat berkait rapat dengan sikap fanatik dan rasa ‘keakuan' melampau terhadap pendapat sendiri, lantas cuba menguasai pemikiran orang lain dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan selain daripada pandangan sendiri. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra'yi' atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak berbahaya yang sedang menjalar di kalangan umat Islam sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu.

Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan keadilannya itu juga tidak pernah mengimpikan supaya para sahabat tidak berselisih faham sama sekali. Ini kerana baginya, perbezaan pendapat akan membuka pintu keluasan, keanjalan dan kemudahan kepada umat yang mempunyai tabiat dan keperluan yang berbeza.  Pelbagai bukti sejarah mengenai perselisihan di kalangan sahabat dapat disaksikan sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi seperti perselisihan mereka mengenai arahan Nabi berkenaan solat Asar sewaktu mengunjungi Bani Quraizah. Ini adalah peristiwa terkenal yang mengungkapkan hakikat perbezaan pendapat, tetapi Rasulullah s.a.w. sedikitpun tidak mencela kedua-dua kumpulan yang berselisih faham itu.

Banyak lagi contoh-contoh lain perbezaan dan perselisihan pendapat yang berlaku dikalangan sahabat seperti persoalan politik, pemilihan Khalifah, isu memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan pelbagai perbezaan dalam masalah fekah yang kesemuanya ditangani tanpa mengikut hawa nafsu dan dorongan perasaan yang melulu.  Begitulah tingginya adab dan etika perbezaan pendapat yang didokongi para sahabat Nabi s.a.w. yang kemudiannya diwariskan kepada generasi selepasnya.

Sehinggalah umat Islam kini dihinggapi penyakit baru yang cepat membarah, sekaligus meranapkan akal budi dan akhlak umat itu sendiri.  Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun perasaan. Gamatnya pertelagahan di kalangan umat Islam itu sendiri sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, "politiking", adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong terhadap pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan ‘konflik fanatik' pemikiran yang melanda ini terkandung dalam ungkapan tokoh pembaharuan Islam, Jamaluddin al-Afghani yang mengatakan ‘...bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan bertolak-ansurlah dalam hal-hal yang diperselisihkan...'

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andaikata kita bersedia menghadapinya secara matang dan bijaksana. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.