maPENDEKATAN WAKAF DALAM
MEMBANGUN EKONOMI MASYARAKAT
Datuk Nik Mustapha Hj. Nik Hassan,
Ketua Pengarah IKIM
Minggu yang lepas saya dijemput untuk membentangkan sebuah makalah yang bertajuk “Amalan dan Cabaran Wakaf di Malaysia” anjuran Tabung Baitulmal Sarawak. Saya terpegun dengan keikhlasan dan kemampuan mereka untuk membangun projek wakaf di Sarawak.
Tajuk wakaf sudah lama dibincangkan dalam beberapa seminar sehingga kerajaan menubuhkan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji di Jabatan Perdana Menteri. Diharap kewujudan Jabatan ini akan memancu kaedah wakaf dalam menyusun masyarakat semoga dapat memaju umat Islam.
Wakaf boleh diertikan sebagai harta yang disumbangkan oleh seseorang untuk manfaat orang ramai. Ia merupakan satu kaedah yang boleh di institusikan untuk menyusun dan memajukan sesebuah masyarakat. Di dalam sejarah Islam, wakaf yang julung pertama dilaksanakan ialah berkaitan dengan pembinaan Masjid Quba yang dibina sendiri oleh Nabi s.a.w. Ini diikuti oleh Masjid Nabawi di Madinah. Pembinaan kedua-dua masjid terawal dalam sejarah Islam melalui kaedah wakaf adalah sangat penting untuk membangun masyarakat kerana masjid-masjid tersebut terbukti berperanan secara berkesan sebagai pusat pentadbiran masyarakat.
Amalan wakaf sebagai ibadah mempunyai asas agama yang mendalam. Para Fuqaha berpandangan bahawa amalan wakaf mempunyai dua matlamat asas. Pertamanya, ia dapat menyumbang kepada kebajikan kehidupan sasaran masyarakat yang ditujui, dan keduanya pengamal wakaf menerima pahala secara berterusan di Hari Akhirat nanti.
Amalan wakaf turut merupakan amalan sunat yang mampu diguna untuk membentuk keperibadian mereka yang melaksanakannya. Melalui amalan ini seseorang mampu dididik dari segi sikap dari berkelakuan rakus dan kedekut. Ia juga sekali gus mampu mendidik seseorang supaya berperanan dalam menyusun dan membangun masyarakat. Setiap individu di dalam Islam mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat. Apatah lagi mereka yang mempunyai kemampuan. Pendekatan ini adalah di antara asas dalam menyusun masyarakat mengikut Islam.
Dalam konteks semasa, usaha untuk membangun kebangkitan semula ummah, kaedah dan pendekatan yang sedia ada dalam Islam seperti wakaf perlu diberi perhatian yang bersungguh-sungguh dengan penuh menyakinkan. Islam dalam anjurannya memberi penekanan kepada corak pendekatan dalam menyusun dan membangun sesebuah masyarakat termasuk perkara ekonomi. Kekuatan ekonomi yang dicapai melalui pendekatan kaedah wakaf disamping membina sahsiah peribadi individu semoga berperanan positif kepada keperluan menyusun masyarakat sekaligus juga dapat memupuk semangat muafakat dalam mengendali kegiatan ekonomi.
Justeru itu peranan institusi wakaf perlu di beri nafas baru dalam konteks kefahaman kepentingannya, kemampuan dalam menyusun dan membangun masyarakat dan pada kemuncaknya sebagai model yang berperanan dengan memberi kesan yang membina kepada kemajuan masyarakat semasa.
Pada zaman semasa, institusi wakaf mempunyai potensi yang besar dalam membangun ekonomi masyarakat Islam di Malaysia. Usaha mengembeling amalan wakaf adalah merupakan satu pendekatan yang sesuai dan berciri dinamik dalam menyusun masyarakat dan seterusnya membangun kekuatan ekonomi. Di dalam keadaan ekonomi yang mampan serta terdapat ramai individu yang kaya, jumlah terlibat dengan amalan wakaf akan mampu ditingkatkan. Peluang untuk mereka mewakafkan harta mereka perlu dipermudahkan. Tambah lagi ibadat wakaf sangat dekat dengan hati orang Islam, khususnya orang Melayu Masyarakat Melayu sangat cenderong menghayati peringatan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud seperti berikut:
“Abu Huraira melaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda: Apabila mati anak Adam, kesemua amalannya berakhir kecuali tiga; sadaqa jariya, ilmu yang dapat dimanfaatkan manusia dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kepadanya”. (Sahih Muslim, Kitab al-Wasiyya)
Walaupun wakaf tidak diwajibkan terhadap umat Islam ia merupakan satu ibadat yang pahalanya berterusan kepada penyumbangnya walaupun sesudah meninggal dunia. Justeru itu wakaf merupakan kaedah galakan kepada umat Islam semoga menyumbang sebahagian daripada harta mereka untuk tujuan pembangunan masyarakat seperti pembinaan masjid, rumah sakit, rumah tumpangan, bilik bacaan, perpustakaan dan sebagainya. Ia turut dapat berperanan membangun ekonomi ummah melalui pembinaan sekolah, universiti, pusat latihan dan sebagainya untuk umat Islam menguasai ilmu fard ain dan fard kifayah. Universiti Al-Azhar pada contohnya di bina dengan harta wakaf.
Model institusi wakaf turut mempengaruhi masyarakat Barat di zaman Perang Salib. Bahkan di England, Universiti terkenal, Oxford University telah dibangun di atas model wakaf.
Amalan mewakafkan harta merupakan amalan lanjutan selepas menyempurna amalan fard Islam, seperti zakat. Melalui ibadat wakaf ia mendidik umat Islam bahawa setiap individu yang berada mempunyai tanggungjawab masyarakat selepas menunai zakat untuk meningkat kemajuan kesejahteraan ummah. Menepati semangat pembangunan masyarakat, individu Muslim bukan sahaja mempunyai peranan dalam menjamin kesejahteraan diri dan keluarganya bahkan turut sama mempunyai peranan dalam menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. Kesejahteraan ummah secara menyeluruh jika tercapai akan mewujudkan suasana ekonomi yang kukuh yang seterusnya mampu mencetus pembangunan ekonomi secara berterusan.









